Thursday, January 13, 2005

Tuhan Terlepas Satu Hari?
Oleh
Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)

"All aircraft this is Medan Control. We just had an earthquake. All systems seems to be normal and Medan airport is still open." Demikianlah kata-kata pengawal
lalulintas udara pada lebih kurang pukul lapan setengah pagi pada 26 Disember 2004. Pada ketika itu penulis sedang berada pada ketinggian 36,000 kaki di ruang udara kawalan Medan Control dalam penerbangan daripada Kuala Lumpur ke Istanbul.

Mengganggap ia hanyalah gempa bumi yang kecil, perkara tersebut terlepas daripada ingatan penulis sehingga esok hari ketika menontot BBC World News di bilik
hotel di Istanbul. Jelas bahawa anggapan penulis adalah salah. Gempa bumi tersebut yang sebenarnya berpusat di dasar lautan di sebelah Barat kepulauan Sumatra sebenarnya telah melahirkan ombak besar "Tsunami" yang menghempas tebing hampir semua negara di sekeliling Lautan India. Malah ombak besar ini juga mencecah sehingga ke tebing negara Somalia di pantai Timur benua Afrika.

Jumlah kehilangan nyawa amatlah besar sehingga mencapai lebih 100,000. Dalam suasana memikirkan kedahsyatan malapetaka tersebut, tiba-tiba talifon bimbit penulis berbunyi, menandakan ada sebuah SMS. Ia berbunyi:

Al-Qur'an, surah Mayram, ayat 88-91: "Demi
sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang
besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan
yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah
(Tsunami 26 Disember), serta gunung-ganang pun
nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa
mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak (Hari
Natal 25 Disember)." Sila sebarkan kepada orang ramai.

Penulis tersentak seketika. Dalam suasana manusia seluruh dunia sedang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa ombak besar, ada umat Islam yang sibuk mencari ayat sebagai "dalil" bagi peristiwa tersebut. Dalam suasana manusia seluruh dunia bergegas mensedekahkan harta membantu mangsa, ada umat Islam yang bergegas
mencari ayat sebagai dalil untuk menjustifikasikan peristiwa tersebut.

Penulis menjawab balik SMS tersebut:

Tuhan menunggu lebih 1400 tahun untuk melaksanakan
ayat-Nya. Namun apabila dilaksanakan, Tuhan terlepas
satu hari! Sila sebarkan kepada orang ramai agar kita
sama-sama ketawa.

Sebenarnya SMS di atas bukanlah perkara yang terpencil. Ramai umat Islam yang memiliki sifat angkuh di dalam diri mereka di mana dengan keangkuhan
tersebut mereka berkata "padan muka" kepada mana-mana kaum yang ditimpa musibah, sekalipun kaum tersebut seagama dengan mereka. Sebelum ini apabila berlaku
banjir besar di Bangladesh, penulis pernah mendengar di antara umat Islam ada yang berkata: "Itulah azab Allah yang melanda. Orang Bangla tu banyak yang tak
betul Islam mereka!" Apabila berlaku gempa bumi di bandar Bam di Iran yang mengorbankan puluhan ribu nyawa, ada di antara umat Islam yang berkata: "Azab
Allah turun kerana mereka itu orang Syi`ah yang sesat!"

Semua ini adalah penyakit umat Islam yang perlu diubati segera. Mencari-cari ayat bagi menjustifikasikan sesuatu musibah dan/atau menuduh sesuatu musibah adalah azab Allah kerana keburukan sesuatu kaum merupakan satu kesalahan yang amat besar.
Ini kerana:

1. Mereka menyalahgunakan ayat-ayat Allah dengan
memaksa tafsirannya. Mereka tidak menjadikan al-Qur'an
sebagai pemimpin, sebaliknya merekalah yang memimpin
al-Qur'an agar secocok dengan apa yang mereka
kehendaki.

2. Mereka menuduh sekian-sekian kaum dengan sesuatu
keburukan tanpa sebarang bukti yang kukuh di
sebaliknya. Asalkan sesuatu kaum ditimpa musibah,
mereka menuduh kaum tersebut sebagai telah melakukan
keburukan.

3. Mereka telah memperkatakan sesuatu terhadap Allah
tanpa ilmu. Apabila mereka berkata "Itulah azab
Allah", seolah-olah mereka mewakili Allah dalam
menerangkan apa dan kenapa sesuatu musibah itu
berlaku. Memang, semua yang berlaku adalah dengan
kehendak Allah. Akan tetapi kehendak Allah dipenuhi
dengan pelbagai sebab dan hikmah di sebaliknya, jauh
berbeza dengan kehendak manusia.

Untuk lebih mendalami poin ketiga di atas, perlu diketahui bahawa apabila sesuatu musibah melanda sesuatu kaum, ia memiliki beberapa kemungkinan di sebaliknya. Di antara kemungkinan tersebut adalah:

1. Allah mengasihi kaum tersebut dan ingin memberi
mereka satu peringatan agar kembali kepada kebenaran.

2. Allah mengasihi kaum tersebut dan musibah itu
sebenarnya sesuatu yang baik bagi mereka dari pelbagai
sudut lain yang hanya diketahui oleh Allah. Ini kerana
manusia hanya mampu menilai sesuatu perkara secara
zahir. Apa yang manusia pandang sebagai buruk mungkin
sebenarnya baik di sisi Allah dan apa yang manusia
pandang sebagai baik mungkin sebenarnya buruk di sisi
Allah.

3. Allah mengasihi kaum tersebut dan ingin memberi
mereka kehidupan akhirat yang mereka idam-idamkan.
Musibah yang menimpa merupakan syahid kecil sebagai
ganti kepada syahid besar yang diidam-idamkan oleh
para mujahidin.

4. Allah menjatuhkan musibah kepada kaum tersebut
sebagai penghapus kepada kesalahan yang mereka
lakukan. Kadar musibah adalah selari dengan kadar dosa
mereka. Namun selepas itu di Alam Barzakh dan
seterusnya, kaum tersebut terbebas daripada apa-apa
azab.

5. Allah menjatuhkan musibah kepada kaum tersebut
sebagai azab yang membalas kesalahan yang mereka
lakukan. Oleh kerana kadar kesalahan yang mereka
lakukan adalah besar, maka azab tersebut berlanjutan
sehingga ke Alam Barzakh dan seterusnya.

6. Allah ingin menguatkan kaum tersebut, lalu
diberikan musibah sebagai sesuatu yang dapat membina
jatidiri mereka.

7. Allah ingin menguji kaum yang terselamat daripada
musibah, sama ada mereka mensyukuri keselamatan yang
mereka peroleh atau bersifat angkuh terhadapnya.
Sesiapa yang mensyukurinya maka dia lulus ujian,
sesiapa yang bersikap angkuh maka dia gagal ujian.

Apabila sesuau musibah menimpa sesuatu kaum yang lain, kita tidak dapat pastikan sama ada ia disebabkan oleh kemungkinan 1, 2, 3, 4, 5 atau 6 kerana semua itu
adalah hak Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kita juga tidak boleh berkata bahawa kemungkinan tersebut terhad kepada 7 yang tersenarai di atas sahaja. Apa yang
pasti ialah kemungkinan yang ke-7 jatuh kepada kita yang terselamat daripada musibah, sama ada kita mensyukurinya atau bersikap angkuh terhadapnya.

Mensyukuri yang dimaksudkan ialah bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala bahawa dia terselamat daripada musibah tersebut. Kesyukuran ini dilanjutkan kepada membantu kaum yang ditimpa musibah dengan apa jua cara yang boleh seperti bantuan kewangan, bantuan harta benda, bantuan kepakaran dan sebagainya.

Keangkuhan yang dimaksudkan ialah bersifat angkuh kononnya dia dipenuhi dengan kebaikan sehingga menganggap Allah telah mengecualikan dia daripada ditimpa musibah. Keangkuhan ini dilanjutkan kepada menuduh bahawa kaum yang ditimpa musibah tersebut
memang layak menerimanya kerana salah laku yang mereka perbuat. Bahkan ini mungkin dilanjutkan kepada mengemukakan ayat-ayat tertentu yang dipaksa tafsirannya agar menepati sebaik mungkin suasana musibah yang menimpa.

Melalui penulisan yang ringkas ini penulis ingin mengajak diri penulis sendiri dan para pembaca sekalian agar menganalisa diri kita sendiri. Marilah kita berfikir, adakah kita tergolong di kalangan orang-orang yang bersyukur kepada Allah kerana
terselamat daripada musibah? Sudahkah kita menterjemahkan kesyukuran tersebut kepada menghulurkan bantuan kepada mangsa yang ditimpa musibah?

Marilah kita membanding diri kita dengan umat-umat daripada agama selain Islam. Dalam suasana kita berkata: "Itulah kaum yang diturunkan azab Allah", umat-umat agama lain berkata: "Itulah kaum yang sangat-sangat memerlukan pertolongan". Dalam suasana kita berkata: "Apakah kesalahan yang dilakukan oleh kaum tersebut sehingga ditimpa musibah?", umat-umat agama lain berkata: "Apakah yang dapat kita lakukan
untuk membantu mereka?" Dalam suasana kita sibuk mencari ayat untuk menjustifikasikan musibah yang menimpa satu kaum, umat-umat agama lain sibuk mencari
peralatan Search and Rescue untuk dibawa bersama dalam misi penyelamat.

Sungguh, sangat berbeza sikap umat Islam berbanding umat-umat agama lain. Marilah dari saat ini kita berubah sikap. Berubah bukan sahaja ke tahap yang menyamai umat-umat lain tetapi melebihi mereka. Bukankah berlumba-lumba membuat kebaikan sesuatu yang dituntut oleh Islam?

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[al-Baqarah 2:148]

Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa
yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan
memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
[al-Maidah 5:48]


Betul kan apa yang penulis cakap? Ada antara orang kita yang sibuk nak menunjukkan dirinya beriman, dan boleh come out dgn dalil2 dan seumpamanya. Bila menunjuk2, tak sedar, diri tu dah dikaburi dgn riak.

Apapun, Allah itu maha kaya. Selalunya, kita ni akan diuji balik dengan apa yang kita cakap. Masa tu, baru tau langit tinggi rendah.. itupun kalau sedarla kan. Manusia kalau dah riak, mulalah membanding2kan perihal orang dgn diri sendiri. Kononnya, aku boleh berkorban, kenapa orang lain tak boleh (contoh). Tak sedar ke? Jalan yang dilalui setiap orang berbeza2. Bukan tak tau, mungkin dah lupa. Ingatlah balik, gerak semua datang dari mana? Bukan hanya tau cakap di mulut, hati dah tak ingat apa.

Kalau ada yang terasa, mintak maaf.. tapi mungkin bagus juga kalau terasa. Apa yang elok, boleh diambil iktibar. Dah tiba masanya untuk berubah pun.

No comments: